Wednesday, June 25, 2008

Isu berkenaan tuntutan pihak Kristian terhadap kerajaan Malaysia untuk
membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah bagi tujuan penerbitan
bahan bercetak mereka masih lagi hangat diperkatakan. (Rujuk The Sun,
Ruangan Herald The Catholic Weekly )Pihak yang menuntut mendakwa bahawa kalimah Allah ialah terjemahan dari bahasa Inggeris yang mengunakan kalimah God di dalam bible Versi
English mereka.Sekiranya tuntutan ini dipenuhi kita akan melihat di dalam bible Kristian
ayat-ayat berbunyi seperti berikut:-
“Engkau adalah Messias anak Allah yang hidup “
( Matius 16 : 16 )
“..Kerana ia telah berkata :Aku adalah anak Allah.”
( Matius 27 : 43 )
“ Kasih kurnia menyertai kamu dan damai sejahtera
dari Allah, bapa kita dan dari Tuhan Yesus ( Jesus )
Kristus. (Galatia 1 : 3 )

Serta banyak lagi ayat-ayat lain yang tidak perlu diperincikan di sini.
Jelasnya, dalam menangani isu ini, kita perlu merujuk kembali kepada fakta
sebenar. Iaitu, apakah bahasa asal penulisan kitab Taurat dan Holy Bible?
Berdasarkan fakta, bahasa asal kitab Taurat adalah bahasa Hebrew manakala
bahasa yang digunakan bagi penulisan kitab Holy Bible ialah bahasa Greek.
Kalimah tuhan dalam bahasa Hebrew ialah El, Eloh, Elohim dan juga
Yahweh. Ini dapat diperhatikan menerusi Perjanjian Baru, di dalam The
Gospel of St. Matthew bab 27 : 46 yang menyebut :

Kira-kira jam tiga berserulah Yesus dengan suara nyaring:
“Eli,Eli, lama sabakhtani?”Ertinya: Allah-Ku, Allah-Ku,
mengapa Engkau meninggalkan Aku ?”
Manakala di dalam bahasa Greek pula perkataan yang membawa maksud
tuhan ialah Theos. Orang-orang Rom yang menyembah Tuhan yang
disepakati oleh mereka sebagai Tuhan yang sebenar memanggil Tuhan ini
sebagai Hotheos. Manakala sekiranya ada di kalangan mereka yang
menyembah Tuhan palsu, mereka akan memanggil Tuhan tersebut sebagai
Tontheos.

Perhatikan! Bagi kedua-dua bahasa yang dijadikan penulisan bagi kedua-dua
kitab suci ini, tidak terdapat satu pun yang menyebut kalimah Allah
Sesetengah sarjana Kristian menyatakan bahawa alasan yang paling kukuh
bagi mereka untuk dibenarkan penggunaan kalimah Allah ialah berdasarkan
penggunan kalimah Allah di dalam kitab Bible versi Arabic.
Sememangnya diakui kalimah Allah digunapakai di dalam Bible berbahasa
Arab. Bible versi bahasa Arab tidak dikenali sebagai Holy Bible tetapi Alkitab
Al-Muqaddas. Begitu juga Bible berbahasa Melayu yang
menggunakan nama yang sama? Di dalam terjemahan Bible bahasa Melayu
mereka menamakannya sebagai Al-kitab berita baik.*

Perlu dinyatakan bahawa kalimah Allah wujud di dalam Bible bahasa Arab
adalah kerana sesetengah Kristian Arab (seperti Syria, Mesir dan lain-lain)
yang wujud sebelum kedatangan Islam meyakini konsep Unity (Keesaan
Allah). Ia berbeza sama sekali dengan konsep Trinity (tiga dalam satu)
sepertimana doktrin kebanyakan Kristian pada hari ini termasuk mereka
yang terlibat dengan tuntutan isu kalimah Allah ini.
Maka hujah yang dijadikan sandaran sebagai alasan untuk membenarkan
mereka menggunakan kalimah Allah ini adalah tidak masuk akal kerana
golongan Kristian Trinity sendiri mengkafirkan golongan Kristian Unity.

Terdapat juga sarjana mereka yang menyatakan bahawa kekeliruan tidak
akan sekali-kali timbul jika penggunaan kalimah ini dibenarkan kerana
kalimah Allah yang hendak digunakan tersebut adalah merujuk kepada
penterjemahan dari kalimah God dalam Bible bahasa Inggeris sedangkan
kalimah Tuhan adalah terjemahan dari kalimah Lord.
Pandangan mereka ini juga mengelirukan malah bertentangan dengan apa
yang dinyatakan dalam Bible mereka. Persoalannya, apakah perbezaan
antara Allah dan Tuhan dalam agama Kristian?

Sekiranya mereka mendakwa bahawa Tuhan adalah merujuk kepada Nabi
Isa sedangkan Allah adalah merujuk kepada Tuhan Bapa di dalam syurga
maka mereka perlu mengetahui bahawa ayat yang akan dinyatakan di bawah
ini membuktikan bahawa kalimah Tuhan dan Allah adalah dua perkataan
yang merujuk hanya kepada Allah sahaja! Perhatikan di dalam The Gospel
Of St. Mark 12:29 menyebut :
Jawab Jesus : “Hukum yang terutama ialah : Dengarlah wahai
Bani Israel, Tuhan Allah kita, Tuhan Yang Esa”
Saya bertanya kepada orang-orang Kristian, siapakah Tuhan Yang Esa
yang dimaksudkan di dalam ayat di atas? Adakah Nabi Isa? Tidak! Lafaz
Tuhan yang dimaksudkan di atas adalah merujuk kepada Allah semata-mata.
Sekali lagi bertentangan dengan apa yang telah dinyatakan oleh sarjana
mereka bahawa kalimah Lord (Tuhan) di dalam Bible adalah merujuk
kepada Nabi Isa!

Sekiranya mereka berhujah dengan menyatakan bahawa dalil yang paling
jelas menunjukkan kalimah Tuhan adalah merujuk kepada Nabi Isa
sedangkan kalimah Allah adalah merujuk kepada Tuhan Bapa, iaitu seperti
dinyatakan di dalam The Gospel Of St.Matius 16:22 yang menyebut :
Tetapi Petrus menarik Jesus ke samping dan menegur Dia,
katanya :“Tuhan, (Jesus) semoga Allah (Tuhan Bapa)
menjauhkan hal itu”.
Maka mereka perlu menyelesaikan dahulu percanggahan di antara kedua
ayat yang telah dinyatakan tadi. Sama ada Tuhan itu adalah Nabi Isa sahaja
ataupun Tuhan juga adalah Allah!

Di samping itu, kita juga tidak lupa untuk menyeru agar mereka
memerhatikan kata-kata Jesus sendiri terhadap keesaan Allah. Perhatikan
The Gospel Of St.John 20:17 yang menyebut :
Kata Jesus kepadanya: Janganlah engkau memegang aku,
sebab aku belum pergi kepada Bapa, tetapi pergilah kepada
saudara-saudaraKu dan katakanlah kepada mereka bahawa
sekarang Aku akan pergi kepada BapaKu dan Bapamu,
AllahKu dan Allahmu.”
Dalam The Gospel Of St. Matthew 22:37 :menyebut :
Jawab Jesus kepadanya: “ Kasihilah Tuhan Allahmu dengan
segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan segenap
akal budimu.

Dalam erti kata lain Nabi Isa bukannya Allah ataupun Tuhan Yang Maha
Berkuasa kerana Nabi Isa sendiri menyatakan bahawa Tuhan yang sebenar
ialah Allah!

Kesimpulannya, larangan terhadap penggunaan kalimah Allah yang
diwartakan menerusi keputusan kabinet yang bersidang pada 16 Mei 1986
adalah amat wajar. Empat perkataan dikhususkan hanya buat umat Islam dan
sama sekali tidak dibenarkan penggunaannya oleh Non Muslim iaitu Allah,
Solat, Kaabah dan Baitullah. Sesetengah negeri pula contohnya selangor,
telah menambah lagi beberapa perkataan yang dianggap mengelirukan
sekiranya digunakan oleh Non Muslim.
Jelaslah di sini kewajaran kerajaan Malaysia melarang penggunaan kalimah
Allah digunakan oleh Non Muslim yang bertujuan untuk mengelakkan
kekeliruan di kalangan masyarakat apabila terminologi yang tidak tepat
digunakan oleh mereka yang mempunyai kepentingan tertentu.

Menahan marah

Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w.“ Berwasiatlah kepadaku, “Lalu Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.” Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali, Nabi s.a.w menjawab:“Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.”

Riwayat al-Bukhari.. bermaksud...
Huraian1. Umat Islam dituntut supaya meminta nasihat daripada orang yang alim untuk membentuk peribadinya.
2. Islam menghendaki seseorang itu berusaha memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa agar iman dan ketaqwaannya kepada Allah S.W.T semakin meningkat.
3. Hakikat marah menurut Islam ialah marah yang terpuji dan marah yang tercela. Kemarahan yang ditujukan untuk mempertahankan diri, agama, kehormatan, hak atau untuk menolong orang yang dizalimi adalah marah yang dituntut. Sebaliknya yang selain daripada itu adalah marah yang datang daripada sifat-sifat syaitan yang dikeji oleh Islam. Oleh itu umat Islam hendaklah menjauhinya.
4. Sesuatu persoalan atau wasiat yang memerlukan jawapan daripada seseorang, janganlah diminta secara mendesak atau menunjukkan kemarahan, tetapi hendaklah menggunakan tutur kata yang baik, bersopan dan sabar...

Tuesday, June 24, 2008

Mujahadah!!!

Mujahadah.....
Sabda Rasulullah saw, "Kita baru balik dari satu peperangan yang kecil untuk menghadapi peperangan yang lebih besar.Sahabat bertanya ,'Peperangan apakah itu ya Rasulullah.' Baginda berkata, 'Peperangan melawan hawa nafsu.' ( Hadith diriwayatkan oleh Al Baihaqi) Peperangan melawan musuh zahir jarang-jarang berlaku tetapi peperangan melawan nafsu yang ada dalam diri kita sentiasa berlaku selagi kita bernyawa.Sebab itulah Rasulullah berkata ia merupakan peperangan yang lebih besar. BERMUJAHADAHLAH MEMBERSIHKAN JIWA. BERMUJAHADAHLAH..membersihkan jiwa, Dari mazmumah yang merosakkan diri dan manusia, Bermujahadahlah, jangan jemu-jemu dan kecewa, Bermujahadah melawan nafsu memang sakit dan susah, Bahkan meletihkan dan menjemukan. Kalau lemah semangat akan menyerah kalah tanpa berjuang, Itulah yang dikehendaki oleh syaitan, Syaitan tahu nafsu itu adalah jalannya, Jika manusia tidak bermujahadah melawan nafsu luaslah jalannya, Bermaharajalelalah syaitan menggoda dan memperdaya manusia, Manusia diperkotak-katikkan kesini dan kesana, Macam bola dipadang yang ditendang-tendang oleh manusia, Dipermainnya manusia itu semahu-mahunya, Diperhambakannya manusia itu mengikut kehendaknya, Berjayalah syaitan terhadap kebanyakan manusia, Sedikit sahaja manusia tidak masuk perangkapnya. Sajak Tasawuf (Selepas Isyak 04-08-1999) Catitan:MUJAHADAH bermaksud Berusaha sepenuh tenaga lahir dan bathin sejauh yang mungkin menunaikan perintah Allah diwaktu hati tidak suka melakukannya dan meninggalkan larangan Allah diwaktu hati amat suka dengan larangan tersebut. NAFSU sifatnya tidak suka dengan apa yang Allah suka dan suka dengan apa yang Allah tidak suka. MUJAHADAH JALAN MENUJU ALLAH. MUJAHADAH adalah satu jalan untuk seseorang menuju Allah, Tanpa mujahadah adalah mustahil Seseorang hamba sampai kepadaNya, Kerana yang menjadi penghalang seseorang itu menuju Allah ialah syaitan dan nafsunya, Tapi nafsu adalah lebih menghalang dari syaitan laknatullah, Kehendak nafsu dengan kehendak Tuhan biasanya selalu sahaja berlawanan, Disinilah perlunya bermujahadah bersungguh-sungguh dan bermati-matian, Bermujahadah adalah sangat menjemukan, Bermujahadah adalah terseksa dan menyakitkan, Tapi disinilah pahalanya yang besar dari Tuhan, Bermujahadah adakalanya sangat susah dan payah, Ada juga rahmat Tuhan bermujahadah dipermudahkan, Tapi para rasul dan nabi dengan anugerah Tuhan dipelihara Tuhan, Mereka diberi kelebihan tanpa mujahadah menuju Tuhan, Mereka itu orang istimewa dan orang Tuhan, Terlepas daripada syaitan dan bebas daripada nafsunya, Mereka adalah orang pilihan Tuhan; Kerana mereka hendak dijadikan contoh dan ikutan, Mereka itu benar-benar orang Tuhan, Dan wakil Tuhan, Untuk diikuti oleh manusia berbagai-bagai lapisan, Kita yang bukan rasul dan nabi ini kenalah bermujahadah, Didalam bermujahadah mintalah pertolongan dengan Tuhan, Agar dibantu Tuhan didalam bermujahadah melawan nafsu dan syaitan. Bertawasullah selalu dengan Rasul dan Mursyidnya, Meminta tolong didalam bermujahadah agar dipermudahkan oleh Tuhan, Bermujahadahlah secara istiqamah dan jangan jemu-jemu, nanti dengan rahmat Allah mujahadah kita dipermudahkan. Sajak Tasawuf(Menjelang tidur 27-09-1999

ya allah....always be there...

Ya Allah
Kurniakanlah untukku cintaMu
Cinta hamba yang mencintaiMu
Jua cinta yang bisa mendekatkanku pada cintaMu

Ya Allah
Segala pemberianMu yang ku sayangi
Jadikanlah ia kekuatan bagiku untuk mencintaiMu
Segala yang Engkau pisahkan dariku
Sedang ia amat ku sayangi
Jadikanlah ia ruang untuk cintaMu dalam diriku

Ya Allah
Berilah kekuatan untuk mengutamakan cintaMu
Daripada cintaku pada mereka yang ku sayangi
Pada harta yang ku cari dan pada air dingin ketika ku dahaga

Ya Allah
Berilah daku kekuatan untuk mencintaiMu
Para malaikatMu, Nabi-nabiMu dan para solehin

Ya Allah
Hidupkanlah hatiku dengan cahaya cintaMu
Dan jadikanlah daku hambaMu yang Engkau cintai

Ya Allah
Berilah daku kekuatan untuk mencintaiMu
Sepenuh hatiku dan redha padaMu sentiasa akan segala usahaku
Amin Ya Rabbal A'lamin...

Allah hu'akbar..